top of page
Writer's pictureShahril Nizam

Sikap Sahabat Mempraktikkan Sunnah

Updated: Jul 28, 2023

Para sahabat adalah golongan atau generasi yang paling hampir dengan Rasulullah s.a.w. Mereka menerima hadith langsung dari baginda s.a.w. Di kalangan para sahabat ada yang mendengar hadith melalui aqwal baginda s.a.w., sebahagian mereka yang lain pula menyaksikan af‘al baginda dan sekiranya terdapat perselisihan dan kemusykilan, mereka akan bersegera menanyakan kepada Rasulullah s.a.w. Oleh kerana itu, Rasulullah s.a.w. menggalakkan mereka supaya mengajar dan menyampaikan sunnah kepada sahabat-sahabat yang lain.


Sabda baginda s.a.w.


حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ الدِّمَشْقِيُّ حَدَّثَنَا مُبَشِّرُ بْنُ إِسْمَعِيلَ الْحَلَبِيُّ عَنْ مُعَانِ بْنِ رِفَاعَةَ عَنْ عَبْدِ الْوَهَّابِ بْنِ بُخْتٍ الْمَكِّيِّ عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَضَّرَ اللَّهُ عَبْدًا سَمِعَ مَقَالَتِي فَوَعَاهَا ثُمَّ بَلَّغَهَا عَنِّي فَرُبَّ حَامِلِ فِقْهٍ غَيْرِ فَقِيهٍ وَرُبَّ حَامِلِ فِقْهٍ إِلَى مَنْ هُوَ أَفْقَهُ مِنْهُ


Maksudnya: Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Ibrahim al-Dimasyqi, telah


menceritakan kepada kami Mubasyyir bin Isma‘il al-Halabiy, dari Mu‘an bin Riqa‘ah daripada ‘Abd al-Wahab bin Bukht al-Makkiy, dari Anas bin Malik berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Allah menyinari hamba yang mendengar perkataanku, kemudian ia menghafalnya dan menyampaikannya pula kepada orang lain yang tidak mendengarnya. Ramai orang yang membawa ilmu tidak memahami (ilmu yang dibawanya) dan banyak orang yang membawa ilmu kepada orang yang lebih berilmu darinya”.


Galakan Rasulullah s.a.w. ini diambil kira oleh sahabat sebagai amanah dalam penyampaian ilmu dan ia tidak terbatas kepada sesuatu zaman sahaja, malah keatas zaman selepas mereka.

Di samping itu, para sahabat juga sangat mengambil penting perihal amalan bagi setiap syariat, ilmu, fatwa atau sunnah yang dikemukakan oleh baginda s.a.w. Apabila mendengar kalam baginda s.a.w., para sahabat mengambil pendirian keimanan yang kukuh dengan mempraktikkan langsung perkara tersebut. Mereka sangat sibuk mempelajari hadith sepertimana al-Quran, menghafaz setiap daripada lafaz atau makna hadith, berusaha memahaminya dan seterusnya disusuli dengan amalan.


Abu ‘Abd al-Rahman al-Sulami berkata, “Para sahabat yang membacakan al-Quran kepada kami seperti Uthman bin ‘Affan, ‘Abdullah bin Mas‘ud dan sahabat lain bercerita kepada kami bahawa jika mereka mempelajari sepuluh ayat al-Quran dari Nabi s.a.w. maka mereka tidak mempelajari ayat-ayat al-Quran yang lain sehingga mereka mempelajari seluruh kandungan sepuluh ayat itu, iaitu ilmu dan amal. Mereka berkata kami mempelajari al-Quran, ilmu, dan amal dengan sekaligus”


(Abu ‘Abd al-Rahman al-Sulami ‘Abdullah bin Habib bin Rabi‘ah (wafat di antara 70 dan 80 H) merupakan salah seorang tabi‘in yang mendengar dari Uthman r.a., Ibn Mas‘ud dan Zaid bin Thabit. Lihat Ibn Hajar al-‘Athqalani (t.t), Tahdzib al-Tahdzib, t.tp: Muassasah al-Risalah, Juz. 2, h. 319. Hadith Maqtu’ ini dinukilkan oleh Dr. M. ‘Ajaj al-Khatib dalam kitabnya al-Sunnah Qabl al-Tadwin ketika menghuraikan berkenaan cara para sahabat menerima al-Sunnah daripada Rasulullah s.a.w.)


Maha suci Allah. Mereka merupakan generasi hebat. Mempunyai daya kecintaan yang tinggi terhadap agama Allah. Benarlah kata hukama', ilmu tanpa amalan ibarat pepohon yang tidak berbuah. Justeru para sahabat senantiasa memastikan pohon keimanan mereka yang ditunjangi akar aqidah yang kukuh mampu menghasilkan buah-buahan ranum yang menjadi manfaat kepada para petani. Ya, mereka generasi hebat yang menjadi tarikan dan contoh buat generasi kini. Kerana kesungguhan mereka dalam mempraktik syariat dan sunnah, maka hari ini kita dapat menikmati nikmat iman dan Islam yang sebenar, bersesuaian dengan ajaran baginda s.a.w. Alhamdulillah..


Selawat dan salam buat Rasul junjungan. Juga buat seluruh sahabat dan para pengikut mereka dikalangan para tabiin dan ulama'. Wallahualam..


Pengajaran:


1. Ilmu itu perlu disampaikan kepada orang lain. Jangan kedekut ilmu. Sharing is caring.

2. Ilmu yang diperolehi adalah untuk diamalkan. Bukan sekadar memenuhi tuntutan peperiksaan atau bacaan kosong semata.


Sumber:


1. Dr. M. ‘Ajaj al-Khatib (1988), al-Sunnah Qabl al-Tadwin.

2. ‘Abd al-Ghina ‘Abd al-Khaliq (1989), Difa’ ‘an al-Sunnah

3. Imam Ibn Majah (2003), Sunan Ibn Majah

4. Disertasi Shahril Nizam Zulkipli (2011), Pemeliharaan Hadith di Internet: Kajian Terhadap Laman Web al-Durar al-Saniyyah dan Islamweb.

3 views0 comments

Комментарии


bottom of page