Ibnu Abbas meriwayatkan:
"Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. ketika waktu tahun penaklukan Makkah melihat patung-patung di dalam Baitullah, maka ia tidak mau masuk sehingga ia menyuruh, kemudian dihancurkan." (Riwayat Bukhari).
Tidak diragukan lagi, bahawa patung-patung yang dimaksud adalah patung yang dapat dinilai sebagai berhala orang-orang musyrik Makkah dan lambang kesesatan mereka di zaman-zaman dahulu.
Ali bin Abu Talib juga berkata:
"Rasulullah s.a.w. ketika (melawat) satu jenazah ia bersabda: Siapakah di kalangan kamu yang akan pergi ke Madinah, maka jangan biarkan di sana satupun berhala kecuali harus kamu hancurkan, dan jangan ada satupun kubur (yang bercungkup) melainkan harus kamu ratakan dia, dan jangan ada satupun gambar kecuali harus kamu hapus dia? Kemudian ada seorang laki-laki berkata: Saya! Ya, Rasulullah! Lantas ia memanggil penduduk Madinah, dan pergilah si laki-laki tersebut. Kemudian ia kembali dan berkata: Saya tidak akan membiarkan satu pun berhala kecuali saya hancurkan dia, dan tidak akan ada satupun kuburan (yang bercungkup) kecuali saya ratakan dia dan tidak ada satupun gambar kecuali saya hapus dia. Kemudian Rasulullah bersabda: Barangsiapa kembali kepada salah satu dari yang tersebut maka sungguh ia telah kufur terhadap apa yang diturunkan kepada Muhammad s.a.w." (Riwayat Ahmad, dan berkata Munziri: Isya Allah sanadnya baik).
Tidak lain gambar-gambar/patung-patung yang diperintahkan Rasulullah s.a.w. untuk dihancurkan itu kerana patung-patung tersebut adalah lambang kemusyrikan jahiliah. Rasulullah S.A.W. mahukan kota Madinah bersih dari pengaruh-pengaruhnya.
Hukum Melukis Gambar dan Mengukir Patung
Haram membuat gambar manusia, binatang dan semua yang bernyawa dengan sebarang cara pada apa-apa benda sekalipun, sama ada gambar tersebut berbentuk ukiran ataupun tidak. Perbuatan ini merupakan dosa besar kerana terdapat amaran keras terhadapnya dalam hadith secara jelas.
Walau bagaimanapun, membuat gambar sesuatu yang tidak bernyawa seperti pokok, tumbuh-tumbuhan dan jisim yang kaku adalah harus dan tidak berdosa melakukan. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam Sahihnya bab تحريم الصورة الحيوان و تحريم اتخاذ
قَالَ مُسْلِم قَرَأْتُ عَلَى نَصْرِ بْنِ عَلِيٍّ الْجَهْضَمِيِّ عَنْ عَبْدِ الْأَعْلَى بْنِ عَبْدِ الْأَعْلَى حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ أَبِي إِسْحَقَ عَنْ سَعِيدِ بْنِ أَبِي الْحَسَنِ قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى ابْنِ عَبَّاسٍ فَقَالَ إِنِّي رَجُلٌ أُصَوِّرُ هَذِهِ الصُّوَرَ فَأَفْتِنِي فِيهَا فَقَالَ لَهُ ادْنُ مِنِّي فَدَنَا مِنْهُ ثُمَّ قَالَ ادْنُ مِنِّي فَدَنَا حَتَّى وَضَعَ يَدَهُ عَلَى رَأْسِهِ قَالَ أُنَبِّئُكَ بِمَا سَمِعْتُ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ كُلُّ مُصَوِّرٍ فِي النَّارِ يَجْعَلُ لَهُ بِكُلِّ صُورَةٍ صَوَّرَهَا نَفْسًا فَتُعَذِّبُهُ فِي جَهَنَّمَ و قَالَ إِنْ كُنْتَ لَا بُدَّ فَاعِلًا فَاصْنَعْ الشَّجَرَ وَمَا لَا نَفْسَ لَهُ فَأَقَرَّ بِهِ نَصْرُ بْنُ عَلِيٍّ
Maksudnya :
"Seorang lelaki mennemui Ibn Abbas RA lalu berkata : “Sayalah orang yang membuat gambar-gambar ini dan berilah fatwa tentangnya kepadaku. Kata Ibn Abbas RA, dekatlah kepadaku, dan dia mendekatinya pula sehinggalah Ibn Abbas meletakkan tangannya di atas kepala lelaki tersebut sambil berkata: “aku memberitahu engkau sabda yang aku dengar daripada Rasulullah SAW. Aku mendengar Baginda SAW bersabda: “Setiap pembuat gambar berada di dalam neraka, dan setiap gambar yang dibuat Allah memberikannya nyawa lalu ia menyiksa pembuatnya dalam neraka Jahannam.” Kata Ibn Abbas, “jika kamu terpaksa membuat gambar buatlah gambar pokok dan sesuatu yang tidak bernyawa.” (Sahih Muslim)
Dr Yusof al-Qaradhawi di dalam fatwanya juga tetap mengharam patung dan setiap gambar yang berjisim. Jikalau ia menyerupai benda hidup seperti manusia dan haiwan.
Terdapat dua keadaan yang yang dikecualikan daripada hukum haram tersebut :
a) Patung permainan kanak-kanak lelaki ataupun perempuan
Berdasarkan hadith yang telah diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam bab في فضل عاءشة رضي الله تعالي عنها :
حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ يَحْيَى أَخْبَرَنَا عَبْدُ الْعَزِيزِ بْنُ مُحَمَّدٍ عَنْ
هِشَامِ بْنِ عُرْوَةَ عَنْ أَبِيهِ عَنْ عَائِشَةَ أَنَّهَا كَانَتْ تَلْعَبُ بِالْبَنَاتِ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَتْ وَكَانَتْ تَأْتِينِي صَوَاحِبِي فَك يَنْقَمِعْن مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَل قَالَتْ فَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُسَرِّبُهُنَّ إِلَيَّ
Maksudnya: Daripada ‘Aishah RA, dia bermain-main anak patung permainan berdekatan Rasulullah SAW, katanya, kawanku mengunjungiku, mereka menyorok-nyorok kerana malu dan takut kepada Rasulullah SAW. Kata ‘Aishah RA lagi, Rasulullah membiarkan mereka masuk menemuiku. (Sahih Muslim)
b) Keadaan terdesak
Harus mengambil dan mennggunakan gambar-gambar untuk keperluan keselamatan atau dalam keadaan yang terdesak sekadar yang diperlukan sahaja. Ini berdasarkan kaedah “Harus dalam keadaan terdesak adalah sekadar keperluan”
Walau bagaimanapun, membuat gambar sesuatu yang tidak bernyawa seperti pokok, tumbuh-tumbuhan dan jisim yang kaku adalah harus dan tidak berdosa melakukannya.
Adapun hukum sesuatu yang bergambar samada binatang ataupun manusia sekiranya digantung di dinding atau dilukis pada kain yang tidak kerap digunakan adalah haram dan tidak harus dibiarkan bahkan wajib diturunkan dan dihapuskan dari tempatnya.
Hukum Fotografi
Menggambar yang diharamkan oleh Allah SWT adalah melukis, memahat dan lain-lain,
yang langsung dilakukan oleh manusia dengan dirinya sendiri. Sedangkan mengambil gambar dengan menggunakan alat fotografi adalah tidak termasuk menggambar yang diharamkan bahkan hukumnya mubah.
Pada hakikatnya ini bukan menggambar, tapi memindahkan bayangan dari realiti menuju filem. Ini bukanlah menggambar orang yang dilakukan oleh penggambar.
Jadi, penggambar dengan alat fotografi tidak menggambar orang, tapi memantulkan bayangan orang pada filem dengan menggunakan alat.
Itu adalah memindahkan bayangan, bukan menggambar dengan perantaraan alat, bukan dilakukan langsung oleh penggambar. Ini tidak masuk ke dalam larangan yang terdapat dalam hadits-hadits. Hadits-hadits mengatakan: “orang-orang yang membuat gambar-gambar ini”, “Sesungguhnya aku telah menggambar gambar-gambar ini”, “Setiap penggambar”, dan “para penggambar”.
Orang yang mengambil gambar orang atau binatang dengan alat fotografi tidak membuat gambar-gambar ini, dan tidak menggambar. Dia bukanlah penggambar, tapi alat fotografilah yang memindahkan bayangan ke filem. Dia tidak melakukan sesuatu kecuali menggerakkan alat. Karena itu, dia bukan penggambar, dan tidak mungkin dialah yang menggambar.
Menggambar yang disebutkan pengharamannya di dalam hadits-hadits di atas telah dijelaskan dan dibatasi jenisnya, iaitu yang menyerupai penciptaan dan di dalamnya penggambar menyerupai Penciptaan Allah.
Menggambar dengan alat fotografi tidak masuk dalam hukum yang didatangkan dari hadith-hadith diatas kerana ia bukanlah penghasil gambar. Ia hanya memantulkan sesuatu yang ada ke filem. Oleh demikian, ia tidak dianggap sebagai jenis menggambar yang pengharamannya disebutkan dalam hadith-hadith tersebut. Hadith-hadith tersebut tidak berlaku padanya dan dia tidak masuk ke dalam cakupan kandungan hadith-hadith tersebut dalam pengharaman hukum.
Hakikat seni bagi gambar yang dilukis menggunakan tangan dan gambar fotografi dengan sangat sempurna. Kedua-dua jenis yang sama sekali berbeza. Gambar seni adalah gambar yang dilukis dengan tangan. Berbeza dengan gambar fotografi dari sisi seni. Maka menggambar dengan alat fotografi adalah boleh, tidak ada larangan di dalamnya.
Persoalan ini adalah seperti apa yang pernah difatwakan oleh Syekh Muhammad Bakhit, Mufti Mesir: "Bahawa fotografi itu adalah merupakan penahanan bayangan dengan suatu alat yang telah dikenal oleh ahli-ahli teknik (tustel). Kaedah ini sedikitpun tidak ada larangannya.
Sekalipun ada sementara orang yang ketat sekali dalam persoalan gambar dengan segala macam bentuknya dan menganggap makruh sampai pun terhadap fotografi tetapi satu hal yang tidak diragukan lagi bahawa mereka pun akan memberikan rukhshah terhadap hal-hal yang bersifat darurat kerana sangat diperlukan atau kerana suatu maslahat yang mengharuskan seperti mengambil gambar bagi tujuan passport, lesen, kad pengenalan dan lain-lain.
Hukum Mengambil Gambar
Bekas Mufti Mesir Syeikh Muhammad Bakhit al-Mutil dalam risalahnya “ al Jwb al-Kafi fi Ibhath al-Taswir al-Fotografi” mengharuskan mengambil gambar. Bagi beliau, penggambaran bukanlah satu aktiviti penciptaan, tetapi merupakan proses penahanan bayangan, tetapi dengan syarat gambar yang diambil adalah halal.
Hukum Memiliki Gambar
Gambar yang tersedia ditempat ibadah seperti masjid, musalla, dan sebagainya adalah haram secara pasti. Dasarnya adalah berdasarkan hadith riwayat Ibnu Abbas bahawa Rasulullah SAW menolak untuk memasuki Ka’bah sehingga gambar-gambar yang ada padanya dihapuskan. Ini adalah perintah tegas sehingga menjadi dalil pengharaman.
Sedangkan memiliki gambar-gambar tersebut di tempat yang tidak disediakan untuk beribadah seperti rumah, perpustakaan, sekolah, dan lainnya terdapat beberapa perincian dan penjelasan:
1. Jika gambar dipasang di tempat yang di dalamnya terdapat penghormatan terhadap gambar tersebut maka ia dihukum sebagai makruh.
2. Jika gambar dipasang di tempat yang di dalamnya tidak terdapat penghormatan terhadap gambar tersebut maka ia diharuskan.
Pemakruhan di tempat yang terdapat penghormatan terhadapnya adalah berdasarkan hadith Aisyah bahawa Rasulullah melepaskan tabir yang padanya terdapat gambar. Juga berdasarkan hadith Abu Hurairah bahawa Jibril menolak untuk memasuki rumah kerana di dalamnya terdapat patung, gambar dan anjing.
Sedangkan tidak apa-apa jika gambar tersebut diletakkan di tempat yang di dalamnya tidak terdapat penghormatan terhadapnya. Ia berdasarkan hadith Aisyah yang menyebutkan bahawa Rasulullah melepas tabir yang padanya terdapat gambar ketika gambar itu ditegakkan dan beliau bersandar pada bantal yang padanya terdapat gambar.
Hadith Abu Hurairah juga menunjukkan, Jibril berkata kepada Rasulullah: “perintahkanlah agar tabir tersebut dipotong dan dijadikan dua bantal yang diinjak”. Ia menunjukkan bahawa larangan terarah kepada gambar yang diletakkan bagi tujuan penghormatan dan bukannya pada memiliki gambar tersebut.
Hikmah Pengharaman
Umumnya, pengharaman membuat gambar dan tegahan yang berkaitan dengannya adalah kerana patuh dan taat kepada Allah SWT. Mereka yang beriman akan sentiasa patuh kepada arahan serta tegahan Allah SWT seraya berkata “Kami dengar dan kami patuh”
Nabi Muhammad SAW melarang pembuat gambar kerana menyerupai ciptaan Allah SWT. Firman Allah :
هُوَ الَّذِي يُصَوِّرُكُمْ فِي الْأَرْحَامِ كَيْفَ يَشَاءُ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ
Maksudnya: Dialah yang menjadikan kamu sewaktu di dalam rahim ibumu sebagaimana yang dikhendakinya. Tiada tuhan melainkan Dia yang maha perkasa lagi maha bijaksana.
Gambar, berhala dan patung-patung pernah disembah selain Allah. Apabila Islam datang membawa ‘aqidah tauhid mengharamkan syirik dan memeranginya maka semua pintu yang mungkin diresapi syirik dan pengagungan yang lain selain Allah adalah ditutup.
Kesimpulan
1. Di antara gambar-gambar yang diharamkan ialah gambar-gambar yang disembah selain Allah seperti Isa al-Masih dalam agama Kristian. Gambar seperti ini dapat membawa pelukisnya menjadi kufur. Begitu juga bagi pemahat-pemahat patung. Adalah menjadi kufur jika diniatkan untuk tujuan pengagungan.
2. Termasuk juga sebagai dosa bagi orang-orang yang melukis sesuatu yang tidak disembah tetapi bertujuan untuk menandingi ciptaan Allah. Iaitu dia beranggapan bahawa dia dapat mencipta jenis baru dan membuat seperti pembuatan Allah. Kalau begitu keadaannya, dia boleh menjadi kufur. Ini bergantung kepada niat pelukis itu sendiri.
3. Selain itu, memiliki atau memahat patung-patung yang tidak disembah tetapi termasuk yang diagung-agungkan seperti patung raja-raja, ketua negara, para pemimpin dan sebagainya yang dianggap keabadian mereka itu dengan didirikan monumen-monumen adalah berdosa sama sekalisama ada patung itu diukir satu badan penuh atau setengah badan.
4. Di samping itu, patung-patung binatang dengan tidak ada maksud untuk disucikan atau diagung-agungkan atau patung mainan adalah diharuskan untuk dimiliki.
5. Begitu juga gambar binatang-binatang dengan tidak ada maksud diagung-agungkan, tetapi dianggap suatu manifestasi pemborosan. Misalnya gambar di dinding dan sebagainya. Ini hanya masuk yang dimakruhkan
6. Adapun gambar-gambar pemandangan misalnya pohon-pohonan, lautan, perahu, gunung dan sebagainya adalah diharuskan baik si pelukisnya ataupun yang menyimpannya selama gambar-gambar tersebut tidak melalaikan ibadah dan tidak sampai kepada pemborosan. Jika demikian, hukumnya makruh.
7. Manakala fotografi pada prinsipnya mubah selama tidak mengandungi objek yang diharamkan seperti disucikan oleh pemiliknya secara keagamaan atau disanjung-sanjung secara keduniaan. Lebih lagi jika yang disanjung-sanjung itu merupakan orang-orang kafir dan ahli-ahli fasik.
8. Yang terakhir apabila patung dan gambar yang diharamkan itu bentuknya diubah atau direndahkan atau dihina, maka hukumnya berubah dari haram kepada halal seperti gambar-gambar di lantai yang biasa diinjak oleh kaki dan sandal atau patung kanak-kanak yang dijadikan mainan.
Rujukan
1. Sahih Bukhari
2. Sahih Muslim
3. Fiqh Semasa Oleh Dr. Yusof al-Qardawi
4. Manhaj Fiqh al-Syafie Oleh Dr. Mustafa al-Khin, Dr Mustafa al-Bhugha & ‘Ali al-Syarbaji
Comments