Kitab Taqrib al-Tahdhib karangan Ibn Hajar al-‘Asqalani (773-852H) merupakan kitab rijāl hadith yang memuatkan biografi para perawi pengarang al-Kutub al-Sittah yang diiktiraf antara kitab rijāl paling muktabar di sisi ulama hadith khususnya pengkaji hadith semasa.[1] Ia mengandungi biografi seramai 8826[2] orang perawi dengan lafaz tajrih dan ta‘dil yang disusun kepada 12 tingkatan (maratib) dengan 12 peringkat kategori perawi (tabaqat). Ibn Ḥajar juga memberi lambang-lambang (rumuz) tertentu yang berjumlah 28 lambang kesemuanya di mana 23 merupakan lambang mewakili kitab-kitab daripada pengarang al-Kutub al-Sittah dan baki lima lambang merupakan simbol bagi maksud tertentu. Doa Ibn Ḥajar dalam mukadimah kitab beliau:[3]
Dan kepada Allah I aku meminta agar memberi manfaat dengannya (kitab ini) para pembacanya dan penulisnya dan pengkajinya, serta Dia menyampaikan kita dengan kelebihanNya dan ihsanNya kepada apa yang kita cita dan harapkan, sesungguhnya Dialah penolong ke arah itu dan Maha Berkuasa atasnya, tiada Tuhan melainkan Dia, kepadaNya aku bertawakal dan kepadaNya aku kembali.
KITAB TAQRIB AL-TAHZIB
[1] ‘Abdullah b. Muhammad (2003), Rijāl Muslim alladhin Ḍa‘afahum Ibn Ḥajar, Arab Saudi: Dar Ibn al-Qayyim, m.s 6-7. Bahkan kitab al-Taqrib dilebihkan daripada kitab al-Kāsyif karangan al-Dhahabi kerana al-Taqrib menyimpulkan status setiap perawi sedangkan tidak semua perawi dalam al-Kāsyif dibuat kesimpulan. Al-Kāsyif ialah kitab rijāl peringkat asas manakala al-Taqrib lebih mendalam dan menjadi rujukan dalam kesimpulan seseorang perawi. Lihat: https://uqu.edu.sa/page/ar/16214 (dicapai pada 10 September 2014).
[2] Berdasarkan kitab Taqrib al-Tahdhib yang di-tahqiq Abū Muhammad Ṣalāh al-Din yang merupakan rujukan utama penulis. Bilangan ini diakui oleh beberapa pengkaji semasa seperti kajian Muhammad ‘Awwāmah dan Muhammad Rāghib Rāsyid dalam tesis sarjananya. Mengikut tahqiq Abu al-Asybal, bilangannya 8923 perawi. Pernomboran perawi dalam kurungan merujuk kepada kitab ini.
[3] Ibn Ḥajar (2004), Taqrib al-Tahdhib, tahqiq: Abū Muhammad Salah al-Din b. ‘Abd al-Mawjūd, Mesir: Dar Ibn Rajab, m.s 31.