top of page
Writer's pictureShahril Nizam

Hukum Arak Daripada Madu (Al-Bit’u) dan Isu Penyalahgunaan Air Ketum

Updated: Oct 28, 2021

عن عائشة رضي الله عنها: أن النبي صلي الله عليه وسلم سئل عن البتع فقال: (كل شراب أسكره فهو حرام) البخارى


Maksudnya: Diriwayatkan daripada Aishah RA, bahawa Nabi SAW pernah ditanya tentang al-Bit’ie (khamar daripada madu) maka baginda bersabda "Setiap minuman yang memabukkan adalah haram". (Riwayat Bukhari)


Sumber Hadith: Sahih Bukhari , Kitab al-asyribah, Bab al-bit’u (arak daripada madu), No 5157.


Yahya bin Ma'in mengatakan hadith ini merupakan yang paling sahih diriwayatkan daripada nabi tentang pengharaman khamar.


Makna Ijmali


Nabi SAW pernah ditanya mengenai hukum minuman daripada madu yang memabukkan, lalu baginda menjawab secara umum dan menyeluruh iaitu “setiap minuman yang memabukkan adalah haram”. Dalil ini menunjukkan bahawa tidak diambil kira berlainan nama selagi makna dan hakikatnya adalah satu iaitu memabukkan. Maka hukumnya adalah haram walaupun ia diperbuat daripada mana-mana bahan yang cair atau keras.


Hadis ini juga menjadi dalil bahawa hukum arak adalah haram meskipun diperbuat daripada bahan-bahan selain dari perahan anggur seperti madu, gandum dan sebagainya.


Takrif Arak Dan Al-Bit'u


Arak (khamar) ialah air perahan yang mentah daripada perahan buah anggur yang boleh memabukkan. Ia dinamakan al-khamar (tutupan) kerana ia menutupi akal untuk berfikir secara waras. Jumhur Fuqaha’ tidak pula membezakan antara meminum arak dan minuman lain yang memabukkan. Nabi Muhammad SAW bersabda:


كل مسكر خمر ,وكل خمر حرام


Maksudnya: “Setiap yang memabukkan adalah arak, dan setiap arak adalah haram”


Al-Bit’u adalah minuman daripada madu yang boleh memabukkan. Di dalam Kitab Mu’jam al-Wajiz, al-Bit’u diertikan sebagai arak madu. Sayid Sabiq dalam mensyarahkan hadis al-Bit'u menjelaskan bahawa ia adalah sejenis ubat untuk menjadikan seseorang itu kuat dan bertenaga tetapi memberi kesan mabuk dan khayal .


Kefahaman Hadis


Diharamkan meminumnya sedikit atau banyak, kecuali ketika terpaksa. Sabda nabi SAW


حرمت الخمر بعينها قليلها وكثيرها, والسكر من كل شراب


Maksudnya: “Diharamkan khamar sama ada sedikit mahupun banyak serta semua minuman yang memabukkan”.


Khamar adalah najis mughalazah berdasarkan satu riwayat daripada Abu Hanifah. Sehinggakan apabila ia terkena pada pakaian (mengikut pendapat ulama hanafi) lebih besar daripada kadar dirham, maka tidak harus pakaian itu digunakan untuk menunaikan solat.


Syeikh Wahbah Zuhaili menjelaskan makna kalimah (rijsun) membawa maksud ‘najis maknawi’ pada pandangan syara’. Perintah menjauhinya menunjukkan bahawa ia patut dihindari sedaya upaya. Jumhur Ulama’ telah menghukum khamar wajib dijauhi dan mencegah daripada menghampirinya. Dalil yang menunjukkan arak itu najis ialah daripada hadith Abu Tha’labah al-Khashani katanya “Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami berada dinegeri ahli kitab, adakah boleh kami makan dalam bekas-bekas mereka? Lalu nabi Muhammad SAW bersabda:


ان وجدتم غيرها فلا تأكلوا فيها, وان ام تجدوا فاغسلوا وكلوا فيها


Maksudnya: “Jika kamu dapati bekas lain, maka janganlah kamu makan dalamnya, dan jika kamu dapati tidak ada bekas lain, maka basuhlah bekas mereka dan bolehlah kamu makan didalamnya”


Para imam daripada mazhab yang empat telah menetapkan hukum haram mengunakan arak atau bahan yang memabukkan bagi tujuan perubatan dan tujuan lain. Nabi SAW bersabda:


Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT tidak menjadikan sesuatu yang diharamkan keatas kamu sebagai ubat”.


Ciri-Ciri Mabuk


Ciri-ciri mabuk adalah yang menghilangkan akal iaitu pemabuk tidak dapat memahami sesuatu pun, akalnya tidak berfungsi, tidak dapat membezakan antara lelaki dan perempuan atau langit atau bumi. Sementara itu, Imam Abu Yusuf dan Muhammad serta imam-imam lain berkata


“Pemabuk ialah orang yang banyak percakapanya meracau dan bercampur aduk tidak menentu, sebab itu ialah mabuk pada lumrah (‘uruf) dan kebiasaan manusia. Sesungguhnya pemabuk pada pengetahuan manusia ialah nama bagi orang yang meracau, bercampur aduk percakapanya, tidak dapat mengenal pakaianya dan pakaian orang lain dan tidak dapat membezakan antara kasutnya dan kasut orang lain” .


Isu Semasa: Penyalahgunaan Air Ketum


KUALA TERENGGANU 14 Feb. - Gejala meminum air rebusan daun ketum yang dicampur dengan ubat lipas dan ubat nyamuk, dipercayai semakin menular di kalangan remaja penagih dadah seperti morfin dan heroin . (Utusan,14 Feb 2004).


Dikesan sebagai usaha terbaru mereka melepaskan gian ekoran kesukaran mendapatkan dadah dan pil-pil khayal. Di Malaysia sejak Ogos 2004, pemilikan daun ketum,pemprosesan atau jualan boleh dituduh di bawah Sek. 30(3) Akta Racun 1952, dan didenda sehingga RM10,000 dan/ atau dipenjarakan selama 4 tahun. Nama saintifik – Mitragyna Speciosa Korth


Dikenali sebagai daun ketum atau biak di Malaysia atau kratom, ithang, kakuan dan thom di Thailand . Tumbuhan daripada Famili Rubiacaea (sepertimana pokok kopi). Didapati di kawasan tropika Asia khususnya utara dan pantai timur semenanjung malaysia dan di tengah dan selatan thailand . Tumbuh di kawasan subur, lembap dan teduh. Ketinggian pokok sehingga 50 kaki.

Dikenali sebagai salah satu ubatan tradisional dan menjadi sumber tenaga semulajadi kepada para petani di kedah. Namun disalah gunakan oleh remaja sekarang .


Ia juga baik untuk pemulihan penagih dadah kerana rata-rata penagih di Kedah sudah beralih dengan meminum daun ketum untuk menghilangkan ketagihan kerana ia murah. Dikata mengandungi Mitragynine sejenis bahan aktif yang berupaya menjadikan seseorang itu ketagih.


Mitragynine merupakan sebatian aktif yang banyak terdapat di dalam daun ketum. Ia sejenis alkaloid yang hampir menyerupai yohimbin, psilosibin dan lysergic acid diethylamide-LSD. Sebatian-sebatian ini mempunyai kesan rangsangan dan psikoaktif terhadap penggunanya. Mitragynine mewakili hampir separuh daripada 0.5 peratus kandungan alkaloid yang berada di dalam daun ketum. Terdapat sekurang-kurangnya 24 alkaloid lain yang telah dikenalpasti. Antaranya ialah ajmalicine, corynanthedine, mitraphylline, mitraversine, isomitraphylline, paynanthesine, speciophylline, speciofoline dan speciogynine .


Banyak kekeliruan berlaku didalam masyarakat didalam menentukan status hukum bagi minuman ini dan ia masih lagi dibahaskan oleh pihak tertentu termasuk penguasa dan institusi agama tentang hukum yang sewajarnya mengikut kehendak syara’.


Kelompok Pengguna


Terdapat dua golongan yang dikesan sebagai pengguna daun ketum. Pertama adalah penguna sebenar iaitu sebagai pengamal ubatan tradisional yang berbentuk air rebusan asli atau dijadi kapsul. Ia diguna untuk tujuan pengubatan seperti mencegah masalah cirit-birit, kecacingan, penahan sakit, mengembali tenaga selepas bersalin dan penyembuh luka.


Kelompok kedua adalah remaja yang menyalah gunakan daun ketum untuk melepaskan gian mengantikan dadah. Di Malaysia, penyalahgunaan daun ketum semakin menular terutamanya dalam kalangan penagih dadah seperti morfin dan heroin. Selain mempunyai kesan penenang ia juga dikatakan berupaya menghilangkan kesan sindrom penarikan (withdrawal syndrome) untuk jangka masa yang singkat.


Memandangkan kesan seperti mengambil heroin dan morfin daripada daun ketum hanya mampu bertahan selama 3-4 jam, para penagih terpaksa mengambil rebusan daun ketum secara lebih kerap dan dalam jumlah yang banyak untuk mengurangkan kesan gian terhadap morfin atau heroin. Keadaan inilah yang menyebabkan penagih mula menagih daun ketum pula.


Oleh kerana daun ketum mudah didapati secara percuma, maka penyalahgunaannya juga menjadi semakin berleluasa. Ia banyak dilaporkan di Terengganu, Perak, Pahang dan Kelantan.


Pemprosesan dan Penyalahgunaan


Pada asalnya ia direbus oleh para petani untuk dijadikan minuman tenaga bagi mengurangkan kesakitan urat dan menambah tenaga tetapi ia disalah gunakan untuk mengantikan dadah kerana kos yang lebih murah . Cara penyediaanya agak berbeza berbanding penggunaan tradisional iaitu dengan cara merebus air ketum bersama ubat nyamuk serta ubat lipas untuk diminum. Serbuknya juga dihisap bersama candu dan tembakau dan juga boleh diletakkan pada lidah untuk kesan gian. Kebiasanya mereka boleh mendapatkan air ketum dengan harga RM2-3 sebungkus kecil.


Aspek Kesihatan


Menurut kajian, daun ketum mengandungi banyak bahan aktif antaranya mitragynine yang memberi kesan gian dan ketagihan kepada penggunanya. Ia secara tidak langsung memberi kesan kepada kesihatan mengikut kuantiti yang digunakan. Kesan Dos Rendah iaitu mengunakan beberapa helai daun sahaja dapat menghalang motivasi seseorang, ketiadaan minat pada sesuatu, bosan dan malas.


Kesan pada tahap stimulan (dos sederhana) iaitu dengan mengunakan 5-9 helai daun dapat memberi kesan positif seperti minda tangkas, peningkatan tenaga fizikal dan batin, peningkatan tenaga fizikal dan batin, suka bercakap, ramah, dan suka bergaul. Namun disamping itu ia juga memberi kesan negatif seperti kurang sensitif terhadap kesakitan fizikal dan emosi , hilang dalam alam mimpi, merasa gatal atau berpeluh, anak mata menjadi sempit dan merasa loya.


Mengikut kajian yang dijalan oleh Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), kesan bagi penggunaan kronik (10-30 helai) adalah amat banyak diantaranya Anoreksia dan seterusnya kehilangan berat badan Jaundis (penyakit hati), Insomnia (payah tidur), psikosis (gila), banyak tidur, hilang keupayaan untuk bekerja, takikardia (denyutan jantung menjadi cepat) dan delusi paranoid (khayalan buruk-sangka) disamping kulit menjadi gelap terutama dibahagian pipi.


Kesimpulannya air daun ketum lebih banyak memberikan kesan negatif berbanding positif jika disalah gunakan. Manakala untuk tujuan perubatan, ia hanya digunakan berapa helai sahaja dan tidak dicampurkan dengan bahan-bahan lain.


Analisis Isu dan Kesimpulan


Ganja, heroin, air ketum serta bentuk lainnya baik padat mahupun cair yang terkenal dengan sebutan mukhaddirat (narkotik) adalah termasuk benda-benda yang diharamkan syara' tanpa diperselisihkan lagi di antara ulama.


Pengharaman air daun ketum juga berdasarkan hadith al-Bit’u kerana ia termasuk kategori (khamar) yang memabukkan iaitu menutup akal. Umar RA berpendapat “khamar ialah segala sesuatu yang menutup akal”.


Agama islam sangat memgambil berat terhadap jiwa dan jasad manusia. Oleh demikian, adanya hukum halal dan haram bertujuan untuk menjamin kelangsungan hidup yang harmoni dan menghindari sebarang bencana terhadap jiwa (nyawa) dan akal. Ia bagi membolehkan seseorang itu terus dapat melaksanakan segala kewajiapan yang disyariatkan kepadanya dengan sempurna.


Rujukan


1. Fikih Sunnah, Sayyaid Sabiq.

2. Taisir al-Allam Syarh U’mdatul al-ahkam, Syeikh Abdullah al-Bassam.

3. Fiqh dan Perundangan Islam, Wahbah al-Zuhaili.

4. Fatwa-fatwa Kontemporer, Syeikh Yusuf al-Qardhowi.

5. Halal dan haram, syeikh Yusuf al-Qardhowi.

6. Utusan Malaysia

7. www.halalguide.com

8. www.aadkpp.gov.my

9. www.wikipedia.org

10. www.usm.my

48 views0 comments

Comments


bottom of page