Dalam daya usaha melawan penularan COVID-19, pengasingan diri daripada wabak penyakit sebenarnya telah digariskan oleh Rasulullah SAW. Ia dapat dilihat ketika berlakunya penularan wabak sekitar negeri Syam. Kaedah tersebut lebih dikenali pada masa kini sebagai kaedah kuarantin. Ianya secara kolektif dimulakan dengan kaedah pengawalan wabak penyakit yang dikategorikan sebagai pandemik. Sabda Rasulullah:
عَنْ عَامِرِ بْنِ سَعْدِ بْنِ أَبِي وَقَّاصٍ عَنْ أَبِيهِ أَنَّهُ سَمِعَهُ يَسْأَلُ أُسَامَةَ بْنَ زَيْد مَاذَا سَمِعْتَ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الطَّاعُونِ فَقَالَ أُسَامَةُ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الطَّاعُونُ رِجْسٌ أُرْسِلَ عَلَى طَائِفَةٍ مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ أَوْ عَلَى مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ فَإِذَا سَمِعْتُمْ بِهِ بِأَرْضٍ فَلَا تَقْدَمُوا عَلَيْهِ وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُم بِهَا فَلَا تَخْرُجُوا فِرَارًا مِنْهُ قَالَ أَبُو النَّضْرِ لَا يُخْرِجْكُمْ إِلَّا فِرَارًا مِنْه
Maksudnya: Dari Amir bin Saad bin Abi Waqqas, dari ayahnya bahawa ia pernah mendengar ayahnya bertanya kepada Usamah bin Zaid, “Apakah yang pernah engkau dengar dari Rasulullah s.a.w. berkenaan dengan penyakit taun? Usamah menjawab bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Taun adalah hukuman yang dikirimkan oleh Allah terhadap sebahagian kalangan Bani Israel dan juga orang-orang sebelum kamu. Jika kamu mendengar ada wabak taun di suatu negeri, janganlah kamu memasuki negeri tersebut, tetapi jika taun itu tersebar di negeri kamu, janganlah kamu keluar dari negeri kamu bagi mengelakkan penyakit itu“. (Sahih al-Bukhari, Kitab al-Ahadith al-Anbiya’, Bab Hadith al-Ghar dalam Mausu‘ah al-Hadith al-Syarif al-Kutub al-Sittah, Riyadh: Dar al-Salam lil Nasyr wa al-Tauzi’, hlm. 264)
Taun merupakan sejenis wabak penyakit yang merbahaya sehinggakan ‘Aisyah berkata “larilah kamu daripada penyakit ini sepertimana larinya kamu daripada tentera yang ramai”. Di kalangan pakar perubatan, taun dikenali sebagai pembengkakan yang mematikan, menimbulkan radang yang amat parah dan sekitar organ yang diserang penyakit ini akan menjadi hitam, hijau dan bernanah. Ulama’ telah berselisih pendapat terhadap perihal taun dan wabak yang dinyatakan di dalam hadith ini. Sebagaimana yang dijelaskan oleh al-Khalil dan Qadi Iyadh bahawa wabak adalah taun. Namun sebahagian ulama’ seperti al-Dawudi dan Ibn al-Athir berpendapat bahawa wabak tidak sahaja diertikan dengan taun tetapi ia juga digunakan untuk semua jenis penyakit. Sebahagian yang lain menyimpulkan bahawa setiap jenis taun adalah wabak dan tidak semua wabak adalah taun. Maka bertepatan dengan sunnah yang disifatkan sebagai Jawami’ al-Kalim, kaedah ini tidak dikhususkan hanya kepada penyakit taun semata-mata, malah ianya sesuai digunakan untuk setiap jenis wabak dan penyakit berjangkit.
Apabila Nabi SAW melarang umatnya daripada masuk ke daerah di mana tersebarnya penyakit taun, dan melarang mereka keluar dari daerah berlakunya penyakit tersebut, baginda sebenarnya telah menggabungkan sistem pencegahan yang sempurna. Pemahaman mengenai petunjuk Rasulullah s.a.w. di dalam hadith ini bererti, masuk ke daerah wabak sama sahaja dengan menyerahkan diri kepada penyakit, membawa penyakit di rumahnya sendiri dan bermakna ia menolong membinasakan diri sendiri. Ini sangat bertentangan dengan bimbingan syariat dan disiplin logika. Firman Allah s.w.t.:
ولا تلقوا بأيديكم إلى التهلكة
Maksudnya: Janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan.(Surah al-Baqarah: Ayat 195)
Adapun larangan Rasulullah s.a.w. kepada pesakit supaya tidak keluar dari tempat wabak boleh disimpulkan mengandungi dua maksud:
Pertama:
Mendorong jiwa manusia supaya sentiasa mempercayai dan bertawakkal hanya kepada Allah SWT serta sabar, tabah dan redha menghadapi qada’ dan qadarNya. Mereka yang sabar ketika menghadapi penyakit ini dan menemui kematian akan diberi ganjaran seumpama syahid berdasarkan sabda baginda s.a.w.:
عَنْ حَفْصَةُ بِنْتُ سِيرِينَ قَالَتْ قَالَ لِي أَنَسُ بْنُ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَحْيَى بِمَ مَاتَ قُلْتُ مِنْ الطَّاعُونِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الطَّاعُونُ شَهَادَةٌ لِكُلِّ مُسْلِم
Maksudnya: Dari Hafsah binti Sirin berkata bahawa Anas bin Malik telah bertanya kepadaku tentang kematian Yahya. Lalu aku menjawa ia mati disebabkan penyakit taun. Anas kemudia berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Taun (Wabak Penyakit) adalah mati syahid bagi setiap muslim”.(Sahih al-Bukhari, Kitab al-Tib, Bab Ma Yuzkaru fi al-Taun, hlm. 490)
Sabda Baginda s.a.w. lagi:
عَنْ عَائِشَةَ زَوْجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهَا أَخْبَرَتْنَا أَنَّهَا سَأَلَتْ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ الطَّاعُونِ فَأَخْبَرَهَا نَبِيُّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ كَانَ عَذَابًا يَبْعَثُهُ اللَّهُ عَلَى مَنْ يَشَاءُ فَجَعَلَهُ اللَّهُ رَحْمَةً لِلْمُؤْمِنِينَ فَلَيْسَ مِنْ عَبْدٍ يَقَعُ الطَّاعُونُ فَيَمْكُثُ فِي بَلَدِهِ صَابِرًا يَعْلَمُ أَنَّهُ لَنْ يُصِيبَهُ إِلَّا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَهُ إِلَّا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ الشَّهِيدِ
Maksudnya: Dari ‘Aisyah isteri Nabi s.a.w. telah memberitahu kepada kami bahawa ia bertanya kepada Rasulullah s.a.w. berkaitan taun. Maka Rasulullah s.a.w. bersabda bahawa itu adalah azab yang Allah turunkan kepada sesiapa yang Allah kehendaki. Allah akan jadikan penyakit itu sebagai rahmat kepada orang-orang beriman. Tidak ada sesiapa yang terkena taun dan duduk tetap di negerinya dalam keadaan sabar, mengharapkan ganjaran Allah dan yakin ia adalah hanya ketetapan ilahi melainkan Allah akan memberinya pahala syahid. (Sahih al-Bukhari, Kitab al-Tib, Bab Ajr al-Sabir fi al-Taun, hlm. 490)
Kedua:
Sebagaimana yang telah dijelaskan oleh para pakar perubatan bahawa apabila seseorang ingin menyelamatkan diri dari wabak penyakit yang menimpanya, maka ia perlu mengeluarkan lembapan berlebihan dari tubuhnya dan mengurangkan segala aktiviti selain senaman dan mandi kerana ia akan menyebabkan masalah lain yang mungkin akan timbul kepada pesakit. Justeru ketika diserang wabak, seseorang disarankan supaya banyak berehat dan mengurangkan aktiviti. Sedangkan untuk keluar dari tempat wabak memerlukan banyak tenaga dan itu amat berbahaya.
Wallahua’lam..
Rujukan:
1. Abu Zakaria Yahya bin Syirf al-Nawawi (1922) (Imam al-Nawawi), al-Minhaj Syarah Sahih Muslim bin al-Hajjaj 2. ‘Abd al-Rahman Abu Bakar al-Suyuti (1996), al-Dibaj ‘ala Sahih Muslim 3. Abi ‘Abdillah Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin al-Mughirah bin Bardizbah al-Bukhari (2000) (Imam al-Bukhari), Sahih al-Bukhari 4. Ibn Qayyim al-Jauzi (2006), Tibb al-Nabawi 5. Mausu‘ah al-Hadith al-Syarif al-Kutub al-Sittah 6. Ibn Hajar al-Athqalani (2001), Fath al-Bari Syarah Sahih la-Bukhari
Comments