top of page
Writer's pictureShahril Nizam

Hukum Menangisi dan Meratapi Kematian

Updated: Jan 23, 2022

1. PENDAHULUAN


Adalah menjadi suatu fitrah kepada manusia apabila merasai kesedihan tatkala berhadapan dengan musibah kematian. Malah kesedihan yang tidak dapat dikawal dan ditanggung pasti akan menyebabkan tangisan, keluhan dan esakan. Namun, apakah pendirian Islam terhadap isu menangisi atau meratapi kematian?


Dalam menjawab persoalan tersebut, perlulah diketahui terlebih dahulu maksud di antara perkataan menangis dan meratap. Menurut kamus dewan edisi ke empat, meratap bermaksud tangisan atau jeritan yang disertai kata-kata kerana terlalu sedih atau rintihan kerana kesedihan (dengan mengeluh, menangis, menjerit, dan lain-lain). Manakala menangis didefinisikan sebagai pelahiran perasaan sedih dengan mencucurkan air mata dan suara yang tersedu-sedu.


Berdasarkan maksud di atas, perbuatan meratap adalah lebih keras kerana ia melibatkan tangisan yang diikuti dengan jeritan atau keluhan. Manakala menangis adalah tindakan yang tidak melibatkan sebarang perkataan lisan.


Justeru, perbuatan menangisi kematian adalah berbeza dengan meratapi kematian. Maka apakah terdapat perbezaan di antara hukum menangisi dan meratapi kematian? Jawapannya adalah Ya.


2. HARUS MENANGISI KEMATIAN


Menangisi kematian adalah dibenarkan syarak kerana ia merupakan fitrah bagi kejadian manusia. Secara logiknya, adalah menjadi suatu kesalahan bagi agama yang mensyariatkan suatu ajaran yang menyanggahi fitrah sedangkan syariat itu sepatutnya bersifat harmoni, sejahtera dan praktikal. Jika merujuk kepada nas, di antara dalil yang menjadi sandaran diharuskan menangisi kematian adalah baginda Nabi SAW juga menangis ketika menziarahi kubur ibunya.


Maksudnya: Daripada Abu Hurayrah RA, beliau berkata bahawa Nabi SAW telah menziarahi kubur ibunya maka baginda menangis dan menangislah mereka yang berada disekeliling baginda SAW. (Hadis riwayat Imam Muslim)

Selain itu, Baginda Nabi SAW tidak melarang wanita daripada menangisi kematian tetapi menasihatinya untuk bertaqwa (reda di atas musibah kematian) dan bersabar.


Maksudnya: Daripada Anas B. Malik RA, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW pernah melewati seorang wanita yang sedang menangis di sebuah kuburan. Melihat itu, Nabi SAW bersabda, “Bertakwalah engkau kepada Allah SWT dan bersabarlah”. (Hadis riwayat Imam Bukhari)

Menurut Abi Usamah Salim ‘Idul Hilali dalam kitabnya Bahjah al-Nazirin Syarah Riyad al-Salihin, hadis ini menjadi dalil diharuskan bagi wanita untuk menziarahi kubur dan menangisi kematian.


Selain itu, Nabi SAW menyatakan bahawa Allah SWT tidak mengazab si mati kerana tangisan dan kesedihan.


Maksudnya: Daripada ibnu Umar RA bahawa Rasulullah SAW telah menziarahi Said bin Ubadah dan bersamanya Abdul Rahman bin Auf, Said bin Abu Waqas dan Abdullah bin Mas’ud RA, kemudian Rasulullah SAW. menangis, lalu orang ramai yang ada bersama-sama Baginda turut menangis. Seterusnya Baginda bersabda, “Adakah tidak kamu mendengar? Sesungguhnya Allah tidak mengazab orang mati dengan sebab linangan air mata atau susah hati”. (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

3. DILARANG MERATAPI KEMATIAN


Meratapi kematian adalah dilarang kerana ia menzahirkan perkataan-perkataan yang dilihat seperti tidak menerima ketentuan qada dan qadar Allah SWT. Petunjuk nabawi juga telah menjelaskan bahawa perbuatan meratapi kematian dilarang kerana ia berpunca dari lisan yang batil. Nabi SAW bersabda:


Maksudnya: “Bukanlah dari golongan kami orang yang menampar-nampar pipi dan mengoyak-ngoyak baju dan menyebut-nyebut (penyesalan terhadap si mati) sebagaimana sebutan orang jahiliyyah”.

Baginda SAW juga mengisyaratkan bahawa Allah SWT akan mengazab si mati kerana lidah yang memperkatakan keburukan kepadanya.


Maksudnya: Daripada ibnu Umar RA bahawa Rasulullah SAW telah menziarahi Said bin Ubadah dan bersamanya Abdul Rahman bin Auf, Said bin Abu Waqas dan Abdullah bin Mas’ud RA, kemudian Rasulullah SAW. menangis, lalu orang ramai yang ada bersama-sama Baginda turut menangis. Seterusnya Baginda bersabda, Adakah tidak kamu mendengar? Sesungguhnya Allah tidak mengazab orang mati dengan sebab linangan air mata atau susah hati, tetapi Allah akan menyiksa atau memberi rahmat kepada orang mati disebabkan ini, lalu Baginda mengisyaratkan kepada lidahnya. (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Selain itu, Baginda SAW telah mengambil perjanjian bersama kaum wanita untuk tidak meratapi kematian dengan memperkatakan kebaikan si mati.


Maksudnya: Daripada Ummu ‘Atiyyah RA berkata kami telah mengambil perjanjian bersama Rasulullah SAW untuk tidak meratapi kematian (tidak memperkatakan kebaikan mayat agar ditangisi oleh kaum kerabatnya). (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

4.0 KESIMPULAN


Penulisan ini merupakan suatu catatan ringkas dalam membahaskan mengenai hukum menangisi dan meratapi kematian. Selaku muslim yang beriman dengan qada dan qadar Allah SWT, perkataan yang paling baik ketika menghadapi musibah kematian adalah Innalillah wa Inna Ilayhi Raji‘un (Sesungguhnya kami milik Allah dan sesungguhnya kepadaNya kami kembali).


Tangisan Yang Diharuskan:


1. Tidak berlebih-lebihan sehingga boleh memudaratkan.

2. Menangisi si mati kerana sayang dan sedih di atas pemergiannya seperti kaum keluarga dan sahabat.

3. Menangisi si mati kerana hilangnya ilmu, kebajikan, keberkatan dan keberanian si mati seperti para ulama, para pendakwah dan orang yang dikenali sebagai orang yang suka bersedekah.


Tangisan Yang Dilarang:


1. Menangis kerana tidak sabar dengan musibah.

2. Menangis kerana tidak redha dengan ketentuan qada dan qadar.

3. Tangisan yang diikuti dengan perbuatan memukul muka (atau anggota lain) dan menarik-narik pakaian sehingga koyak kerana perbuatan tersebut melambangkan ketidak sabaran dalam menghadapi musibah.

4. Meratapi kematian dengan menyebut kebaikan si mati untuk menambah kesedihan ahli keluarga atau mengungkapkan perkataan-perkataan jahiliyyah.


Wallahualam.

1,274 views0 comments

Comentarios


bottom of page