PENDAHULUAN
Bulan-bulan Islam yang digunakan pada hari ini bukanlah sesuatu yang baru dalam kehidupan masyarakat arab. Ini kerana, apabila di selusuri lakaran sejarah, bulan-bulan yang digunakan oleh masyarakat arab sebelum kedatangan Islam adalah menyamai bulan-bulan Islam yang yang digunakan hari ini. Bahkan penggunaan bulan-bulan ini telah bermula berpuluh tahun sebelum kelahiran Baginda s.a.w. lagi. Namun begitu hakikatnya, penulis melihat masih wujud perbezaan antara sebelum Islam dan selepas kedatangannya dalam konteks pengiraan bulan dalam setahun, beberapa penggunaan nama bulan dan pantang larang yang berlaku di zaman sebelum dan selepas Islam.
Justeru, dalam bab ini, penulis akan membahaskan secara terperinci bagaimana perjalanan bulan sebelum dan selepas Islam, asal-usul nama-nama bulan Islam menurut kaca mata al-Quran dan al-Sunnah.
ERA SEBELUM KEDATANGAN ISLAM
Pejalanan Taqwim
Sebelum kedatangan islam, pengiraan tahun, bulan dan hari masyarakat arab didasari oleh peredaran bulan ataupun sistem qamari. Pengiraan ini merupakan tradisi nenek moyang mereka yang digunapakai sejak zaman Nabi Ibrahim a.s. lagi. Seperti juga tamadun-tamadun lain, masyarakat arab menyandarkan kalendar mereka berdasarkan peristiwa-peristiwa penting yang berlaku di sekeliling mereka ataupun tahun pemerintahan ketua-ketua mereka. Sejarawan Ibn Athir dan Sa’id Mahmud Syukri menukilkan beberapa peristiwa yang dijadikan asas permulaan pengiraan kalendar mereka antaranya seperti peristiwa pembakaran Nabi Ibrahim a.s., pembinaan Kaabah, peristiwa al-Hunan, kematian al-Qissi, kewafatan Hisyam bin Mughirah dan serangan tentera bergajah. Tahun-tahun yang dinisbahkan dengan peristiwa-peristiwa yang terjadi ini memudahkan mereka menghitung dan mengetahui perjalanan tahun dalam kehidupan seharian mereka.
Menurut al-Mas’udi, masyarakat arab jahiliyah mengira perjalanan bulan-bulan mereka dalam setahun adalah sebanyak 12 bulan dan pengiraan ini digunakan turun temurun sejak zaman Nabi Ibrahim a.s. lagi. Dikatakan juga dua belas bulan yang digunakan oleh mereka adalah berbeza dengan apa yang digunakan oleh masyarakat Islam kini. Sebagaimana Imam al-Suyuti dalam karyanya al-Muzhir fi ’Ulum al-Lughah wa Anwa’iha dan beberapa ulama lain menyatakan nama-nama bulan-bulan yang digunakan oleh masyarakat arab jahiliyah iaitu al-Mu’tamir (muharam), Najir (safar), Khawwan (rabi’ al-Awwal), Wabsan (rabi’ al-Akhir), al-Hanin (Jamad al-Awwal), Rubba (Jamad al-Akhir), al-Asam (Rejab), ’Adal (Sya’ban), Naniq (Ramadhan), Wa’il (syawal), Warnah (dhulkaedah), dan Burak (dhulhijjah). Walaupun Imam al-Suyuti dan beberapa orang ulama lain membawa semula nama-nama bulan yang diguna oleh masyarakat jahiliyah dahulu, namun bagi penulis nama bulan-bulan Islam kini telahpun diguna sebelum kedatangan Islam lagi. Pandangan ini kerana didasari kepada beberapa faktor:
Orang yang pertama menggunakan nama-nama bulan-bulan Islam adalah Kilab bin Murrah. Beliau merupakan datuk Baginda s.a.w. dan hidup sebelum kedatangan islam ke kota Mekah.
Penamaan bulan-bulan islam kebanyakannya diambil daripada peristiwa-peristiwa yang berlaku di zaman jahiliyah seperti dhulkaedah (masyarakat jahiliyah duduk atau berhenti berperang) dan dhulhijjah (masyarakat arab pergi ke Mekah untuk menunaikan haji).
Besar kemungkinan nama-nama bulan yang disebut olem Imam al-Suyuti dan beberapa ulama lain terhadap nama-nama bulan masyarakat jahiliyah adalah nama-nama lain yang dipanggil selain daripada bulan-bulan yang biasa dipanggil. Boleh jadi juga, Imam al-Suyuti dan ulama-ulama ini menyebut nama-nama bulan sebelum penamaan yang dimulakan oleh Kilab bin Murrah.
Al-Nasi’
Realiti kehidupan masyarakat arab jahiliyah yang begitu taksub dengan kabilahnya sentiasa mengundang perbalahan di antara kabilah-kabilah lain. Hanya pertikaian yang kecil, namun kerana ketaksuban yang melampau kepada kabilah boleh menyebabkan pertumpahan darah dan peperangan yang memakan ratusan tahun. Dalam masa yang sama, mereka begitu patuh kepada pantang larang serta budaya yang dipegang sejak daripada nenek moyang mereka. Salah satu pantang larangnya adalah larangan menumpahkan darah dalam bulan-bulan haram. Bulan-bulan haram yang dimaksudkan adalah bulan muharam, rejab, dhulkaedah dan dhulhijjah. Sepertimana yang telah dijelaskan oleh Allah s.w.t. dalam al-Quran:
Maksudnya: Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya) dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa. Al-Tawbah: 36
Menurut al-Nasafi, masyarakat arab jahiliyah begitu mengagungkan keempat-empat bulan ini sehinggakan mereka sanggup menahan diri daripada membalas dendam apabila bapa mereka dibunuh dalam bulan-bulan haram tersebut. Namun, apa yang menghairankan, dalam keadaan yang sangat terikat dengan adat dan budaya itu, mereka cuba berdalih dengan menukar pengiraan bulan haram kepada bulan lain sehingga membolehkan mereka berperang pada bulan yang diharamkan. Mereka telah menghalalkan bulan yang diharamkan oleh Allah s.w.t. dan mengharamkan bulan yang dihalalkan oleh Allah s.w.t. Perbuatan ini telah dicela oleh Allah s.w.t. seperti yang dirakamkan dalam surah al-Tawbah:
Maksudnya: Sesungguhnya perbuatan mengundurkan (kehormatan itu dari satu bulan ke satu bulan yang lain) adalah menambah kekufuran Yang menjadikan orang-orang kafir itu tersesat kerananya. mereka menghalalkannya pada satu tahun dan mengharamkannya pada tahun Yang lain, supaya mereka dapat menyesuaikan bilangan (bulan-bulan yang empat) yang telah diharamkan Allah (berperang di dalamnya); Dengan itu mereka menghalalkan apa yang telah diharamkan oleh Allah. perbuatan buruk mereka itu dihias dan dijadikan indah (oleh Syaitan) untuk dipandang baik oleh mereka. dan (ingatlah) Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang kafir. Al-Tawbah: 37
Ahli-ahli sejarawan mempunyai pelbagai pandangan mengenai sistem pengunduran bulan yang dilakukan oleh masyarakat jahiliyah. Di bawah ini, penulis cuba mengumpulkan pandangan-pandangan mereka:
Memperlewatkan pengiraan bulan muharam sehingga masuk bulan safar kerana keperluan-keperluan tertentu.
Memperlewatkan musim haji
Memulakan pengiraan tahun pada bulan dhulhijjah, muharam, safar sehinggalah bulan dhulhijjah dan dikerjakan haji pada bulan itu (dua kali haji ditunaikan pada tahun yang sama). Kemudian diulangi tahun selanjutnya dengan dimulakan dengan safar, (muharam didiamkan), kemudian bulan rejab menjadi jamadil akhir, bulan sya’ban menjadi ramadhan, bulan ramadhan menjadi syawal, dhulkaedah menjadi syawal, dhulhijjah menjadi dhulqaedah. Begitulah pengiraan mereka sehinggakan haji ditunaikan dalam setahun dua kali.
Meneliti pandangan-pandangan di atas, penulis boleh katakan bahawa ketiga-tiga bentuk al-Nasi’ yang dijelaskan adalah saling berkaitan. Pandangan yang ketiga dilihat sebagai perincian pandangan pertama dan kedua. Walaupun dilihat pandangan pertama sedikit berbeza kerana memperlewatkan pengiraan bulan muharam sehingga kepada bulan safar, tetapi kemungkinan pandangan pertama itu menjelaskan ketika tahun pertama (bulan muharam didiamkan), dan dipanjangkan pengiraannya walaupun sepatutnya sudah berada di bulan safar.
Justeru, penulis dapat simpulkan bahawa amalan al-Nasi’ yang dilakukan oleh masyarakat jahiliyah secara langsung telah menyebabkan sistem perkiraan bulan mereka menjadi kucar kacir, sehinggakan mereka menunaikan haji bukan pada bulan dhulhijjah, sekaligus menghalalkan bulan-bulan yang diharamkan oleh Allah s.w.t. dan mengharamkan bulan-bulan yang dihalalkan oleh Allah s.w.t. Keadaan begini berlarutan sehinggalah kedatangan Islam dan mengembalikan semula peredaran bulan dan tahun seperti yang diwariskan oleh datuk mereka iaitu Saidina Ibrahim a.s.
ERA SELEPAS KEDATANGAN ISLAM
Pengharaman al-Nasi’
Pada pemulaan Islam lagi, amalan al-Nasi’ yang menjadi tradisi masyarakat arab telahpun dikecam oleh Allah s.w.t. Imam al-Suyuti dalam Lubab al-Nuqul mengeluarkan sebuah riwayat yang dipetik daripada Ibn Jarir al-Tabari bahawa ayat larangan al-Nasi’ telah diturunkan oleh Allah s.w.t. setelah musyrikin menjadikan bilangan bulan dalan setahun sehingga 13 bulan serta menjadikan muharam kepada safar dan mereka telah menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah s.w.t. Secara tidak langsung, riwayat ini menunjukkan kecaman daripada Allah s.w.t. terhadap amalan ini sejak Baginda s.a.w. masih berada di Kota Mekah lagi.
Hubungan umat Islam dengan peredaran bulan menjadi lebih penting apabila perintah berpuasa diturunkan pada bulan sya’ban pada tahun kedua selepas hijrah. Pensyariatan ini merupakan satu ketetapan daripada Allah s.w.t. supaya menunaikan ibadah puasa pada bulan ramadhan dan tidak boleh dilakukan selain daripada bulan ini. Dari sudut yang lain, sebenarnya Islam telah mengajak kembali umatnya membuat penentuan yang tepat akan kehadiran bulan dan bukannya mengikut apa yang dipraktikkan oleh masyarakat arab jahiliyyah.
Rasulullah s.a.w. mengajar sahabat-sahabatnya secara terperinci penentuan bulan ramadhan iaitu melalui kelihatannya hilal (anak bulan), dan sekiranya anak bulan tidak kelihatan, maka cukupkan bilangan sebanyak 30 hari. Seperti yang diriwayatkan oleh Abu Dawud dalam sunannya, Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
عَنْ حُذَيْفَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تُقَدِّمُوا الشَّهْرَ حَتَّى تَرَوْا الْهِلَالَ أَوْ تُكْمِلُوا الْعِدَّةَ ثُمَّ صُومُوا حَتَّى تَرَوْا الْهِلَالَ أَوْ تُكْمِلُوا الْعِدَّةَ
Maksudnya: Dari Hudhayfah berkata, Rasulullah s.a.w. telah bersabda: “Jangan kamu mempercepatkan bulan sehingga kamu melihat anak bulan (hilal) atau menyempurnakan bilangan kemudian berpuasalah sehingga kelihatan anak bulan (hilal) atau sempurnakanlah bilangannya.”
Kaedah yang diajar oleh Baginda s.a.w. ini secara tidak sedar sebenarnya telah mengembalikan kembali bentuk pengiraan yang betul dan bukannya mengikut perkiraan masyarakat jahiliyyah yang mengamalkan al-Nasi’ yang jauh menyimpang.
Sekali lagi amalan al-Nasi’ diingatkan oleh Baginda s.a.w. iaitu ketika haji terakhirnya. Rasulullah s.a.w. mengingatkan bahawa perjalanan taqwim mestilah serupa dengan apa yang diatur oleh Allah s.w.t. sebaris dengan wasiat-wasiatnya yang lain. Gambaran ini memberi petunjuk bahawa pentingnya mengikut aturan bulan yang diatur oleh Allah s.w.t. dan bukanlah mengikut hawa nafsu sehingga merosakkan ibadah-ibadah yang disyariatkan. Imam al-Bukhari meriwayatkan hadith berkenaan khutbah haji terakhir Baginda s.a.w. dalam Sahihnya:
عَنْ أَبِي بَكْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ الزَّمَانَ قَدْ اسْتَدَارَ كَهَيْئَتِهِ يَوْمَ خَلَقَ اللَّهُ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضَ السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ثَلَاثٌ مُتَوَالِيَاتٌ ذُو الْقَعْدَةِ وَذُو الْحِجَّةِ وَالْمُحَرَّمُ وَرَجَبُ مُضَرَ الَّذِي بَيْنَ جُمَادَى وَشَعْبَانَ أَيُّ شَهْرٍ هَذَا قُلْنَا اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ فَسَكَتَ حَتَّى ظَنَنَّا أَنَّهُ سَيُسَمِّيهِ بِغَيْرِ اسْمِهِ قَالَ أَلَيْسَ ذَا الْحِجَّةِ قُلْنَا بَلَى قَالَ أَيُّ بَلَدٍ هَذَا قُلْنَا اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ فَسَكَتَ حَتَّى ظَنَنَّا أَنَّهُ سَيُسَمِّيهِ بِغَيْرِ اسْمِهِ قَالَ أَلَيْسَ الْبَلْدَةَ قُلْنَا بَلَى قَالَ فَأَيُّ يَوْمٍ هَذَا قُلْنَا اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ فَسَكَتَ حَتَّى ظَنَنَّا أَنَّهُ سَيُسَمِّيهِ بِغَيْرِ اسْمِهِ قَالَ أَلَيْسَ يَوْمَ النَّحْرِ قُلْنَا بَلَى قَالَ فَإِنَّ دِمَاءَكُمْ وَأَمْوَالَكُمْ قَالَ مُحَمَّدٌ وَأَحْسِبُهُ قَالَ وَأَعْرَاضَكُمْ عَلَيْكُمْ حَرَامٌ كَحُرْمَةِ يَوْمِكُمْ هَذَا فِي بَلَدِكُمْ هَذَا فِي شَهْرِكُمْ هَذَا وَسَتَلْقَوْنَ رَبَّكُمْ فَيَسْأَلُكُمْ عَنْ أَعْمَالِكُمْ أَلَا فَلَا تَرْجِعُوا بَعْدِي ضُلَّالًا يَضْرِبُ بَعْضُكُمْ رِقَابَ بَعْضٍ أَلَا لِيُبَلِّغْ الشَّاهِدُ الْغَائِبَ فَلَعَلَّ بَعْضَ مَنْ يَبْلُغُهُ أَنْ يَكُونَ أَوْعَى لَهُ مِنْ بَعْضِ مَنْ سَمِعَهُ وَكَانَ مُحَمَّدٌ إِذَا ذَكَرَهُ قَالَ صَدَقَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ قَالَ أَلَا هَلْ بَلَّغْتُ أَلَا هَلْ بَلَّغْتُ مَرَّتَيْنِ
Maksudnya: Dari Abu Bakrah r.a. dari Nabi s.a.w. telah bersabda: Sesungguhnya masa telah berputar sepertimana Allah mencipta langit dan bumi, setahun mempunyai dua belas bulan antaranya empat bulan haram, tiga daripadanya berturutan iaitu dhulkaedah, dhulhijjah dan muharam, dan rejab berpisah antara jamadil awal dan akhir dan sya’ban. Lalu Baginda bersabda: ”Bulan apakah ini?” Kami berkata: ”Allah dan RasulNya lebih mengetahui. Lalu beliau mendiamkan diri sehinngga kami menganggap Baginda akan menamakan dengan nama yang lain. Baginda bersabda lagi: ”Adakah ini bulan dhulhijjah?” Kami berkata: Benar. Lalu Baginda bersabda lagi: Bandar apakah ini?” Kami berkata: Allah dan RasulNya lebih mengetahui” lalu Baginda s.a.w. senyap sehingga kami menyangka Baginda akan menamakannya dengan nama yang lain, Baginda bersabda: Adakah ini bandar..?” Kami menjawab: ”benar.” Baginda bersabda lagi: Hari apakah ini?” Kami menjawab: Allah dan RasulNya lebih mengetahui”. Baginda senyap sehingga kami menganggap Baginda akan menamakannya dengan nama lain, lalu Baginda s.a.w. bersabda: ”adakah ini hari nahr? Kami menjawab: Benar.” Lalu Baginda bersabda: ”Sesungguhnya darah kamu, harta kamu, kata Muhammad menjatuhkan maruah adalah haram seperti haramnya hari ini di bandar ini, pada bulan ini. Kamu akan bertemu dengan tuhanmu maka akan ditanya tentang amalan kamu maka janganlah kembali kepada kesesatan selepas ketiadaanku, jangan berperang antara kamu, moga yang hadir menyampaikan kepada yang tidak hadir, mudah-mudahan mereka yang disampaikan itu lebih menjaga dan memahaminya daripada yang mendengar pada hari ini. Dan Muhammad apabila Baginda berkata katakanlah “benarlah kata-kata Nabi s.a.w. kemudian bersabda: ”adakah aku telah sampaikan? Adakah aku telah sampaikan?” diulangi dua kali.
PENGGUNAAN NAMA BULAN
Selain daripada al-Nasi’ yang dimansuhkan oleh Baginda s.a.w., nama-nama bulan yang diperkenalkan oleh Kilab bin Murrah tetap diteruskan penggunaannya setelah kedatangan Islam. Hanya satu bulan sahaja yang diubah namanya iaitu Safar al-Awwal kepada muharam kerana terdapat keperluan di sana. Rasulullah s.a.w. tidak mengubah nama-nama bulan tersebut kerana nama-nama tersebut langsung tidak menjejaskan agama Islam itu serta aqidah umatnya, dalam masa yang sama nama-nama tersebut telahpun sebati dengan kehidupan dan sesuai dengan keadaan persekitaraan mereka. Hal ini secara langsungnya menunjukkan bahawa Islam adalah agama yang sangat meraikan sesuatu adat selagi mana tidak bercanggah dengan syariat dan aqidah Islam yang murni.
Sebab itulah, dalam persoalan penggunaan nama bulan ini, dijumpai Islam hanya mengubah kepada bulan muharam daripada Safar al-Awwal yang digunakan sebelum kedatangan Islam. Imam al-Suyuti mengatakan masyarakat jahiliyah tidak mengenali bulan muharam kerana bulan safar ketika itu terbahagi kepada dua iaitu Safar al-Awwal dan Safar al-Thani, dalam erti kata lain bulan muharam yang digunakan hari ini adalah bulan safar al-Awwal. Imam al-Syafie pula mengatakan bahawa nama muharam itu sendiri dinamakan oleh Rasulullah s.a.w. sendiri. Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam Sahihnya:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ رَمَضَانَ شَهْرُ اللَّهِ الْمُحَرَّمُ وَأَفْضَلُ الصَّلَاةِ بَعْدَ الْفَرِيضَةِ صَلَاةُ اللَّيْلِ
Maksudnya: Dari Abu Hurayrah r.a. telah bersabda Rasulullah s.a.w. sebaik-baik puasa selepas ramadhan adalah bulan Allah muharam dan sebaik-baik solat selepas solat fardhu adalah solat malam.
Imam al-Suyuti menegaskan bahawa penisbahan muharam dengan nama kalimah “Allah” “Syahr Allah al-Muharam” dalam hadith di atas adalah tidak sama dengan bulan-bulan lain termasuklah bulan ramadhan itu sendiri. penisbahan ini adalah sebagai satu isyarat bahawa nama muharam adalah muncul selepas kedatangan Islam, dan Ibn Durayd juga berpendapat muharam lahir setelah kedatangan islam.
Perubahan nama yang dilakukan oleh Baginda s.a.w. ini sebenarnya sangat berkait rapat dengan al-Nasi’ yang diamalkan dalam masyarakat arab. Al-Nasi’ kebiasaannya dilakukan oleh masyarakat arab ketika mereka berada di dalam bulan Safar al-Awwal. Mereka telah menghalalkan bulan yang sepatutnya diharamkan oleh Allah s.w.t. iaitu Safar al-Awwal. Justeru, perubahan yang dilakukan oleh Baginda s.a.w. kepada “muharam” adalah sebagai bentuk penegasan bahawa bulan tersebut adalah bulan yang diharamkan oleh Allah s.w.t. Imam al-Syafie turut menyatakan:
Aku tidak suka untuk berkata bulan muharram itu bulan safar, akan tetapi bulan itu adalah muharam. Sesungguhnya aku tidak menyukai untuk mengatakan bulan muharam itu adalah bulan safar seperti ahli jahiliyah yang menjadikan safar kepada dua bulan untuk muharam dan safar diundurkan lalu mereka mengerjakan haji setahun dalam bulan haji dan setahun bukan dalam bulan haji, dan mereka berkata sekiranya kami lakukan kesilapan pada setahun, kami betul pada tahun lainnya
Sumber: Penulisan ini merupakan sebahagian dari kajian di peringkat sarjana oleh Dr Mohd Aizul Yaakob yang bertajuk Riwayat Mengenai Kelebihan Bulan Hijri Dalam Karya Jam’u Al-Fawa’id Wa Jawahir Al-Qala’id Oleh Syeikh Dawud Al-Fatani: Takhrij Dan Analisis. Untuk rujukan sumber yang lebih terperinci, muat turun fail yang disertakan:
Comments